11 April 2013- Penjagaan Kaktus


Assalamualaikum kawan-kawan blogger aku... hari nie aku nk kongsi mengenai kaktus...

Tumbuhan gurun mudah hidup dan tahan!

KAKTUS sering dikaitkan dengan tumbuhan gurun kerana ia memang berasal dari kawasan berkenaan, namun, pokok tahan lasak ini juga boleh menjadi hiasan menarik untuk laman anda.

Malah, bagi mereka yang sibuk serta tiada masa untuk menyiram atau menjaga pokok di laman, disyorkan beralih kepada kaktus kerana tumbuhan ini boleh hidup dengan kadar air yang sedikit.

Rupa unik kaktus dalam pelbagai bentuk pastinya memikat sesiapa saja yang berkunjung kediaman anda tambahan pula pokok ini boleh menjadi penghias laman dan dalaman rumah.

Bagaimana membina laman kaktus? Penyelia landskap Yew Garden Sungai Buloh, Chong Yong Jong memberikan beberapa tip untuk membina laman yang dihiasi kaktus.

Katanya, oleh kerana, kaktus mudah hidup dan tahan lasak, maka selain tanah, kaktus juga sesuai untuk ditanam menggunakan pasir bercampur sedikit tanah.

Kombinasi penggunaan campuran tanah, bahan organik, pasir dan batu kecil perlu disediakan manakala siraman menggunakan teknik semburan disyorkan hanya sekali seminggu.

“Selain ditanam terus di atas tanah, kaktus juga boleh ditanam dalam pasu untuk hiasan dalam dan luar rumah bergantung kepada pilihan masing-masing. Perlu diketahui kaktus memerlukan cahaya matahari secara langsung dan mencukupi untuk proses tumbesaran yang lebih baik,” katanya.

Kurangkan air pada pokok kaktus tanaman atau seelok-eloknya kadar penyiraman dilakukan hanya sekali seminggu bagi menyediakan ruang aliran air pada tanah dan lebihan air akan menyebabkan akar kaktus cepat reput selain menyebabkan kaktus cepat mati.

Pokok ini juga boleh ditanam menggunakan tanah campuran atau campuran kompos, tanah pasir dan batu kecil atau pecahan kecil batu daripada tanah liat.

Penggunaan tanah liat boleh menyebabkan pengekalan air yang berlarutan sehingga menyebabkan akarnya menjadi reput manakala batangnya menjadi lembut dan akhirnya busuk.

Baja yang disyorkan untuk menggalakkan pertumbuhan akar dan duri yang sihat ialah Ferti III yang mempunyai campuran nitrogen sebanyak sembilan peratus, phosporus (3 peratus), potassium (8 peratus) dan lain-lain keperluan sampingan kaktus seperti Micronutrients Boron, Iron, Magnesium, Maylodenum Sulfur, Klorin dan Copper.

Bagi menggalakkan bunga pula, kaktus memerlukan campuran tiga peratus nitrogen, enam peratus phosporus, 12 peratus potasium, boron, cobalt, copper, iron, magnesium, molybdenum dan zink.

Bagaimanapun, sesetengah pengeluar baja turut membekalkan bahan solikon bagi pertumbuhan bunga.

Semua semburan baja ini mesti dilakukan hanya sekali untuk tempoh dua minggu. Kekerapan membaja juga boleh memusnahkan kecantikan kaktus terutama daripada jenis berdaun lembut.

Fakta

# Dianggarkan 2,000 spesies kaktus di merata dunia. Antaranya, Agaves, Aloes, Opuntia, Yucca, Euphorbias dan Sansevieria.

# Kaktus dari spesies tunggal - Carnegiea Gigantea adalah pokok besar yang hanya sesuai ditanam di laman rumah serta boleh hidup sehingga 150 tahun.

# Pokok kaktus tinggi ialah jenis Cephalocereus iaitu 15.2 meter bagi tempoh matang dalam jangkau usia 200 tahun. Batangnya sentiasa mengeluarkan bulu seperti kapas dan hanya berbunga selepas 20 tahun ditanam.

# Mereka yang meminati teknik penanaman kaktus menggunakan pasu gantung disyorkan memilih keluarga Aporocatus dari spesies Conzatianum, Flagriformis (dengan batang halus berjuntai dan bunga berwarna merah jambu) dan Flagellifrnis dengan jambakan pokok memenuhi ruangan pasu.

# Pilihlah pasu yang mempunyai lubang di bawahnya bagi membolehkan laluan udara bagi menyuburkan proses akar pokok itu.

# Rupa bentuk kaktus dapat menahan cahaya matahari dan juga mengurangkan pemeluwapan.

# Pokok kaktus boleh menyimpan banyak air pada daun, pangkal dan akar bagi membolehkan ia hidup di kawasan kering dan padang pasir.

# Pokok kaktus akan menyerap air sebanyak mungkin supaya ia boleh hidup semasa musim kering. Duri yang tajam pada kaktus menghalang haiwan memakannya selain menghalang tiupan angin kuat terhadap pokok itu sekali gus mengurangkan penyejatan air dalam pokok itu.

# Selain itu, duri pada pokok kaktus turut berperanan membenarkan lembapan pada waktu malam berkumpul pada hujungnya dan kemudian air ini akan jatuh bagi membolehkan akar pokok itu menyerap air berkenaan.



Ini lah pokok kaktus aku... semasa kaktus nie ada kat rumah... kecut dan tidak bermaya.. hehee..
tetapi apabila aku pindah kan mereka kat tempat kerja aku.. orrr... gebu n hijau..

Beli kat Cameron lah kata kan... Demand kaktus nie.. =.='

-SakuraAriela-

1 comment: